[Berita Harian] Tambun Indah bina hospital pakar di Seberang Perai

KUALA LUMPUR: Tambun Indah Land Bhd dan Show Chwan Medical Care Corp dari Taiwan menjalinkan kerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membina sebuah hospital pakar di Pearl City, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pearl City adalah sebuah perbandaran yang dibangunkan oleh Tambun indah.

Tambun Indah dalam makluman ke Bursa Malaysia berkata, pusat perubatan pelbagai disiplin itu akan dibina di atas tanah seluas 1.62 hektar di Pearl City Business Park, ia akan mengandungi 250 katil.

“Projek ini, jika menjadi, akan menampung keperluan penduduk di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah termasuk beberapa taman perindustrian yang berskala besar seperti Taman Perindustrian Prai, Taman Sains Pulau Pinang dan Taman Perindustrian Bukit Minyak,” tambahnya.

–– ADVERTISEMENT ––
 

Projek itu juga akan mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan atau hab perubatan utama di rantau ini.

MoU berkenaan akan berkuatkuasa selama enam bulan melainkan jika ada lanjutan oleh kedua-dua pihak secara bertulis.

Show Chwan menguruskan sistem penjagaan kesihatan di Taiwan dengan pejabat korporat di Changhua City. Syarikat ini juga mengendalikan lapan buah hospital yang menyediakan pelbagai kepakaran perubatan.