[Berita Harian Online] Tambun Indah bakal lancar projek baharu

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah Pulau Pinang, Tambun Indah Land Bhd, dijangka melancarkan dua projek baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM122.7 juta pada pertengahan 2017 di perbandaran Pearl City, yang dibangunkannya.

Dua projek berkenaan iaitu Pearl Saujana (fasa satu) dan Pearl 28, masing-masing dengan anggaran GDV RM102.7 juta dan RM20 juta adalah pembangunan hartanah kediaman bertanah, menurut syarikat itu dalam kenyataan di sini.

Setakat 31 Mac 2017, Tambun Indah melaksanakan projek dengan GDV RM1.5 bilion dan mencatat kadar pembelian purata 82.7 peratus, manakala nilai jualan belum dibilkan berjumlah RM153.8 juta, yang akan menyumbang secara positif kepada syarikat bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Tambun Indah turut mencatat keuntungan bersih RM24 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017 berbanding RM23.6 juta pada tempoh sama 2016.

“Keberuntungan yang kukuh itu didorong gabungan produk yang positif dalam pembangunan hartanah dan pendapatan daripada hartanah pelaburan, iaitu GEMS International School dan Pearl City Mall, ” kata Tambun Indah.

Sementara itu, dividen akhir 7.0 sen sesaham diluluskan oleh pemegang saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Close Menu